Powered By Blogger

Isnin, 11 Januari 2010

PENDAKWAH MENUNTUT ILMU

Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara didalamnya.

Seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan Rasulullah SAW supaya berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari serta digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri juga seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatupadukan.

Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah SWT dan semua pihak yang bersama-Nya akan bersatu padu. Itulah formula yang ditegas oleh Yang Esa: “Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman) walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah SWT telah mempersatukan hati mereka (Al-Anfaal: 63).


Dirinya merasakan sedang berjuang habis-habisan menghapuskan kemungkaran dan kekeliruan dalam agama. Dirasakan dirinya sentiasa di pihak yang benar lagi tepat hingga kebenaran yang dirasakan berada dipihaknya itu menghalalkan dirinya untuk menyesat, mengkafir, membid’ahkan dan menghukum orang juga pihak lain seolah tiada lagi ruang juga kemungkinan kebenaran berada di pihak satu lagi.

Akhirnya, syaitan mengambil alih, mengubah niatnya daripada menuntut ilmu secara ikhlas untuk mencapai reda Allah SWT kepada menuntut ilmu supaya boleh mempertahankan kumpulannya, ideanya, maruahnya, dan periuk nasinya. Lalu malang mereka... apakah yang boleh menyedarkan mereka? Wallahu’alam.

KESIMPULAN

Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan buat sendiri. Cuma ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat.

Ia adalah peringatan kepada satu daripada cabaran terbesar buat individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman juga virus syaitan.

Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah SWT. Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dulu lagi, iaitu (ringkasan terjemahan): “Antara yang terawal diadili di hari kiamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka: “Apakah yang kamu sudah perbuat (amalan di dunia dulu)?

Jawabnya: “Aku berjuang untuk-Mu (wahai Allah SWT) sehingga mati syahid.”

Dibalas: “Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar ‘SANG BERANI.’ Maka dikatakan, ditarik semula amalannya dan dicampakkan kemukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang kedua): “Apakah yang kamu perbuat (amalan di dunia dulu)?

Jawabnya: “Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan kerana-Mu al-Quran,”.

Dijawab semula: “Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM,’ kamu membaca al-Quran agar digelar QARI.” Maka dikatakan, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang ketiga): “Apakah yang kamu perbuat (amalan di dunia dulu)?

Jawabnya: “Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali aku dermakannya kerana-Mu.”

Dijawab semula: “Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar DERWAMAN.” Maka dikatakan kepada malaikat, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah).

Semoga kita semua dijauhkan daripada racun hati oleh si musuh Allah SWT yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas sebenarnya. Bagi sesiapa sudah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuji manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan juga niatnya yang ikhlas kepada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan