Powered By Blogger

Isnin, 11 Januari 2010

Kenapa Hamid Karzai masih diperlukan

Kumpulan militan Taliban, selepas Hamid Karzai diisytiharkan sebagai presiden Afghanistan, menjelaskan satu isu sentral berhubung proses pilihan raya negara itu. Dalam satu kenyataan Taliban, kumpulan itu mempersoalkan kedudukan Hamid yang dipertikaikan ekoran pemalsuan undi, dan kemudian dipilih semula sebagai presiden berdasarkan undi tersebut.

Taliban mungkin bukan pihak yang layak untuk bercakap tentang demokrasi, tetapi isu pemalsuan undi dan bagaimana usaha untuk membetulkan kesalahan itu kelihatan tidak bersunguh-sungguh amat jelas dapat diperhatikan dalam pilihan raya Afghanistan itu, yang berakhir dengan pemilihan Hamid sebagai presiden selepas pencabarnya, Dr Abdullah Abdullah menarik diri.

Hamid dikritik oleh Taliban sebagai boneka kuasa asing, ekoran Amerika Syarikat yang dilihat kurang mengendahkan dakwaan pemalsuan undi oleh Hamid (tetapi juga melibatkan Abdullah). AS dan Inggeris juga segera mengiktiraf dan mengucapkan tahniah kepada Hamid yang kini akan meneruskan kerjasamanya dengan kuasa-kuasa Barat yang terlibat dalam operasi di Afghanistan.

Penentang pentadbiran Hamid, terdiri daripada Taliban, al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan lain daripada pelbagai etnik dan puak, akan terus menggunakan rekod buruk Hamid ini sebagai senjata menyerang beliau. Tambahan lagi, masalah rasuah juga terus berleluasa, dan pembangunan dan keselamatan tidak dapat dijamin oleh kerajaan beliau.

Disebabkan kedudukan Afghanistan dalam agenda dasar luar Washington dan Nato hari ini, Hamid akan menjadi orang penting. Presiden AS, Barack Obama mahu memastikan kejayaan - yang masih belum jelas takrifannya - dicapai di Afghanistan, setelah beliau menjadikan perang di negara itu sebagai agenda penting dasar luarnya.

Pesaing AS, Rusia dan China melalui organisasi politik-ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) juga sedang menunjukkan minat untuk terlibat di Afghanistan, dengan agenda yang tidak semestinya sehaluan dengan AS.

Kedua-dua Rusia dan China melalui organisasi serantau yang dikuasai mahu turut serta dalam mencorakkan Afghanistan dan tidak dapat dielakkan lagi, membina dan mengukuhkan pengaruh mereka di negara itu.

Hal ini, yang sangat disedari Washington, mendorong kuasa besar itu menjadikan Afghanistan agenda pentingnya dan menegaskan kehadiran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di sana, walaupun kerjasama dan partisipasi negara anggota lain, terutama dari Eropah Barat semakin sukar diperolehi.

Afghanistan akan terus menjadi cabaran getir bagi AS dan Eropah kerana kompleksiti pemain dan kawasan berkaitan. Kumpulan pemerhati dan pakar dasar luar meletakkan nama Af-Pak bagi masalah Taliban dan keganasan yang berkait rapat antara kedua-dua Afghanistan dan Pakistan.

Pemerhati dan pakar di AS melihat Afghanistan dan Pakistan sebagai satu masalah yang berhubung-kait dan tidak dapat dipisahkan, disebabkan faktor geografi dan hubungan etnik Pashtun di Afghanistan dan pakistan yang merentai sempadan.

Dalam hal ini, kegiatan kumpulan terbabit tidak dihadkan oleh sempadan geografi Afghanistan dengan Pakistan.

Kedua-dua negara mempunyai masalah keselamatan dan pentadbiran yang besar, dan ini tidak membantu usaha untuk memerangi kumpulan-kumpulan militan terbabit. Kedua-dua Taliban Afghanistan dan Taliban Pakistan mempunyai kaitan rapat disebabkan hubungan etnik Pashtun kedua-dua kumpulan, walaupun Taliban kedua-dua negara mempunyai agenda yang berbeza selain agenda anti-AS.

Sentimen anti-AS dan Barat yang dikongsi ini menjadi sebab al-Qaeda dijadikan sekutu dan dilindungi, selain aliran agama yang sama.

Berdasarkan sejarah, Taliban yang dibina ekoran kegagalan puak-puak Mujahidin berdamai, bersatu dan mentadbir Afghanistan mendapat dokongan kuat perisikan Pakistan dan AS, membolehkannya memperolehi senjata-senjata yang jauh lebih hebat berbanding kumpulan lain.

Hal ini menunjukkan hubung-kait yang rapat dan sukar untuk ditangani melibatkan kedua-dua negara bermasalah Afghanistan dan Pakistan.

Walau bagaimanapun, hal ini juga menjadi faktor menyebabkan AS memerlukan pemimpin-pemimpin yang agak sehaluan dengan mereka seperti Hamid dan sebelum ini di Pakistan, Pervez Musharaf.

Di Afghanistan hari ini, kerjasama Hamid yang semakin terjejas kredibilitinya itu akan terus diperlukan oleh Barat. Hubungan kerajaan Hamid yang bermasalah dan sekular dengan Barat pula akan menjelaskan lagi kedudukannya sebagai musuh kepada Taliban dan al-Qaeda yang sangat bersifat anti-AS dan berpegang pada tafsiran Islam garis keras.

Dengan kejayaannya memenangi satu lagi penggal lima tahun memerintah Afghanistan, masalah korupsi dan pentadbiran lain berpotensi untuk menjadi semakin sukar ditangani.

Kenyataan Obama menggesa Hamid menangani masalah rasuah dalam pentadbiran Afghanistan pula tidak dapat dipastikan kesungguhannya, sebahagiannya disebabkan hal itu tidak akan menjadi lebih penting daripada tuntutan-tuntutan realpolitik.

Sukar untuk mengharapkan Hamid akan bertindak terhadap pemimpin-pemimpin yang didakwa korup dalam kerajaan Afghanistan, disebabkan potensi kos politik yang bakal dihadapi. Lebih mudah bagi beliau memilih jalan selamat dan tidak bertindak.

Tetapi, banyak pihak melihat isu ini sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan Hamid untuk membolehkan negaranya bergerak ke depan. Obama dalam satu kenyataan kepada media selepas bercakap melalui telefon dengan presiden Afghanistan itu berkata beliau mahu pemerintahan Hamid meneruskan reformasi dalam pentadbirannya, menunjukkan kepada umum bahawa kerajaan AS prihatin terhadap masalah dihadapi Afghanistan.

Isu-isu pentadbiran itu akan terus menjadi isu besar dalam pemerintahan Hamid, dan mampu memberi kekuatan kepada penentang-penentangnya untuk berkempen.

Hal ini mungkin dikemukakan untuk menunjukkan Washington bersikap kritikal terhadap Hamid walaupun mengiktiraf beliau sebagai pemimpin Afghanistan yang dipilih melalui pilihan raya. Apapun kelemahan Hamid, beliau boleh diharap untuk bekerjasama dengan AS dalam banyak hal.

Apapun sikap ditunjukkan Washington, kepastian yang telah diperolehi melalui kedudukan Hamid sebagai presiden yang diketahui sehaluan dengan Barat sekurang-kurangnya, pada tahap ini, memudahkan pentadbiran Obama untuk meneruskan agendanya di Afghanistan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan